PELAWAT

Sunday 3 March 2013

NASIHAT KEPADA YANG BERPOLIGAMI

   Isteri pertama adalah obor yang menerangi perjalanan dan isteri kedua adalah bintang yang memandu arah perjalanan. Orang yang membuang obor di tangan kerana bintang malam sudah bersinar akan dapat terus berjalan menuju matlamatnya tetapi tidak ada cahaya yang menerangi jalanan yang dilaluinya.  Akibatnya dia terpijak ranjau dan duri, tersepak batu dan tunggul kayu dan tidak dapat melihat haiwan ganas yang berkeliaran bersama kegelapan malam. Orang yang telah masuk kepada pengembaraan di padang pasir, enggan berpandu kepada bintang malam, sebaliknya hanya menumpang cahaya obor di tangan, dia akan sesat di tengah-tengah padang pasir, tidak tahu jalan keluar. Akhirnya dia akan keletihan, rebah tersungkur bersama-sama obornya.
  
   Secara kasarnya boleh dikatakan bagi seorang perempuan, suami adalah pelindung seumpama pokok rendang tempat berteduh. Bagi lelaki pula isteri adalah maruah dirinya yang harus dipelihara sebaik mungkin. Perempuan mudah berasa takut dan bimbang bila melihat ribut menggoyangkan pokok tempat dia berlindung. Lelaki cepat berasa tersinggung jika maruahnya diusik. Sifat yang semulajadi begini jika berada dalam kawalan ia dianggap sebagai normal. Jika ia lebih daripada hadnya dan kawalan ke atasnya terlepas maka ia dianggap sebagai penyakit. Di antara penyakit itu ialah cemburu. Cemburu biasanya menawan lelaki pada masa percintaan dan ia menjadi reda setelah berkahwin. Hal yang sebaliknya berlaku kepada perempuan. Penyakit cemburu kurang ketara pada perempuan semasa bercinta tetapi ketara setelah berkahwin. Fenomena ini terjadi kerana semasa percintaan lelaki bimbang kekasihnya direbut oleh jejaka lain. Ini membuatnya mudah cemburu. Bila sudah kahwin persaingan untuk memiliki gadis yang dicintainya itu tidak ada lagi. Keadaan ini menenangkan jiwanya. Bagi perempuan pula percintaan adalah zaman di mana dia diburu, dihargai, disanjung dan dibelai. Layanan yang diterimanya membuatnya berasa selamat. Perkahwinan adalah alam yang berbeza. Bila sudah menjadi isteri seorang lelaki tidak ada lagi peluang lain baginya. Suami itu adalah pokok rendangnya. Keadaan ini mengwujudkan kebimbangan dalam jiwanya. Jadi, sebelum berkahwin biasanya ‘memberkas’ kekasihnya dan setelah berkahwin melonggarkannya terhadap isterinya. Perempuan pula biasanya melonggarkan ikatan sebelum berkahwin tetapi mengetatkannya setelah berkahwin. Masalah akan timbul jika setelah berkahwin suami melepaskan terus ikatannya sehingga isteri menjadi ‘terlalu berani’. Masalah juga akan timbul jika setelah berkahwin isteri terlalu mengetatkan ikatannya sehingga suami berasa ‘sesak nafas’. Kedamaian rumah tangga akan wujud jika kesederhanaan diamalkan.

    Kebanyakan kasih sayang yang wujud dalam rumah tangga sebenarnya tidak mati sekalipun rumah tangga itu bergoyang. Apa yang terjadi ialah tenaga kasih sayang ditekan oleh tenaga-tenaga negatif sehingga tenaga kasih sayang itu tidak dapat berdiri tegak hingga disangkakan ia sudah mati. Tenaga negatif yang membelenggu tenaga kasih sayang itu mungkin lahir daripada perasaan takut yang amat sangat, kecurigaan yang kuat dan sebagainya. Dalam diri manusia sentiasa berlaku perjuangan antara tenaga positif dengan tenaga negatif. Apabila kuat tenaga negatif maka tenaga positif terpendap yang kadang-kadang disangkakan mati. Ia tidak mati, ia hanya pengsan. Orang yang menyangkakan tenaga positif itu sudah mati mengambil keputusan menceraikan isterinya. Apabila berpisah tenaga negatif tidak mendapat bekalannya lalu ia menjadi lemah. Pada masa itu tenaga positif menjadi sedar daripada pengsannya. Bila orang berkenaan dikuasai semula oleh tenaga positif dia dapat melihat dan menilai apa yang telah hilang daripadanya. Bukan sedikit orang yang menyesal kerana tidak memberikan apa yang patut diberikannya kepada pasangannya dan untuk kembali berbuat demikian sudah terlambat kerana pasangannya sudah tiada lagi dengannya.     

   Kaum lelaki yang menjadi khalifah dipertanggungjawabkan untuk memegang hak mentalak. Jangan menggunakan hak tersebut dengan sewenang-wenangnya. Kesan yang timbul daripada tindakan yang tidak bertanggungjawab sangat besar terhadap diri sendiri, pasangannya dan anak-anaknya. Kaum wanita pula yang menjadi pakaian suami jadilah pakaian yang berpadanan dengan suami, jangan terlalu longgar dan jangan pula terlalu ketat. Kesabaran dan bertolak ansur amat penting dalam menjaga keharmonian rumah tangga. 

No comments:

Post a Comment